Misteri Di Lokasi Kemalangan

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Sebelum saya terlupa insiden ini biarlah saya coretkan agar menjadi salah satu pengalaman dalam hidup saya.

Ia terjadi beberapa minggu lepas. Saya ke satu kawasan taman perumahan untuk berjumpa dengan seorang rakan. Jalan ke taman perumahan rakan saya ini gelap dan panjang merentasi hutan namun terdapat beberapa simpang berlampu isyarat dan sebelum jam 12 malam jalan ini memang agak sibuk.

Dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan gelap ini, kira-kira 500 meter dihadapan saya akan menempuh lampu isyarat simpang tiga di mana di kawasan ini agak terang dengan lampu jalan. Saya melihat beberapa buah kenderaan dari arah bertentangan memberikan lampu tinggi, tanda ada sesuatu. Pada pemikiran saya, mungkin ada sekatan jalan raya di hadapan. Apabila saya sampai di lampu isyarat, nampak sekumpulan manusia sedang berkerumun dan seorang lelaki terbaring. Rupanya ada kemalangan berlaku. Saya lihat jam tangan, 1o,45 malam.

Saya berhenti di tepi jalan, bertentangan dengan lokasi kemalangan. Ketika itu semuanya berada di seberang jalan mengerumuni lelaki terbabit yang sedang terbaring. Saya hanya berdiri di seberang jalan kerana risau jika ada kenderaan lain yang terbabas, maklumlah kawasan sekitar gelap dan hanya ada lampu jalan betul-betul di lokasi kemalangan.

Selepas saya berhenti, ada sepasang kekasih (saya duga) juga berhenti di tempat saya dan juga seorang lelaki india dalam lingkungan umur 50-an. Saya melihat mangsa kemalangan dalam keadaan nazak dengan darah begitu banyak mengalir dari kepalanya. Rupanya sebuah van telah merempuh motosikal mangsa. Di belakang saya adalah hutan belantara. Sesekali terdengar burung bersahutan. Jam 11.30 ambulans sampai dan membawa mangsa ke hospital.

Kini, hanya tinggal darah bertakung di lokasi. Ketika itu masih  ramai orang lagi di kawasan lokasi namun hanya kami berempat sahaja yang berada di seberang jalan, masih berbual sesama kami berkenaan kejadian kemalangan tersebut. Masih kedengaran bunyi burung dari hutan di belakang saya. Burung apa saya tak pasti tapi saya sering mendengar bunyi burung tersebut di kampung pada malam hari.

Saya nampak seorang pemuda dari kumpulan seberang jalan mengambil baldi besar berisi air. Darah di lokasi dibersihkan dengan dituang air. Tiga baldi penuh diperlukan untuk menghilangkan darah. Ketika air dari baldi pertama dicurah atas darah, bunyi burung di hutan belakang saya semakin hebat dan semakin banyak. Kami berempat di seberang jalan berpandangan. Lelaki India tadi melihat saya sambil memberikan isyarat kurang enak dengan situasi di hutan belakang kami. Begitu juga pasangan kekasih. Anehnya, habis sahaja baldi ketiga dicurah airnya bunyi burung-burung tersebut lenyap.

Kami berempat kemudian beredar. Dan saya seperti biasa terpaksa ke kedai mamak supaya tiada apa yang mengikut saya pulang kerana saya punya dua orang anak yang masih kecil. Ditakuti mereka diganggu.

Aneh tapi benar.

Lahad Datu 2013

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Tidak perlu saya ulas insiden Lahad Datu ini dengan lebih terperinci kerana semua sedia maklum tentang apa yang berlaku. Pelbagai kisah dipaparkan mengenai insiden ini dan dapat dibaca melalui media arus perdana dan juga media alternatif. Malah blogger-blogger dan individu-individu bergelar netizens juga berkongsi pendapat dan pandangan mengenai insiden ini.

Jika ditanya pendapat saya mengenai insiden Lahad Datu dari kacamata seorang ahli akademik dalam bidang Pengurusan Maklumat dan Pengurusan Rekod, insiden ini akan terpahat di dalam sejarah Malaysia  sebagai salah satu peristiwa besar selain dari pemberontakan komunis, peritiswa 13 Mei dan peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Kita seharusnya mendokumentasikan insiden ini untuk rujukan generasi akan datang. Mungkin dalam masa 2-3 tahun ini, masih banyak sumber dan gambar-gambar yang boleh dirujuk terhadap insiden Lahad Datu namun dalam masa 20 tahun akan datang banyak maklumat-maklumat sebegini mungkin tidak lagi mudah diperolehi.

Ketika ini saya perhatikan banyak maklumat dan gambar-gambar yang berlegar di pelbagai jenis media termasuk Facebook dan Whatsapp. Penting bagi kita menapis maklumat-maklumat tersebut dan ianya juga boleh dijadikan bahan rujukan di masa hadapan.

Saya juga tertarik untuk melihat pihak-pihak mendokumentasikan senario politik tanah air ketika insiden ini berlaku dan komen-komen yang diberikan oleh ahli politik dari kedua belah pihak. Tidak lupa juga respons masyarakat di Malaysia berkenaan insiden ini. Mungkin 20 tahun akan datang apabila anak saya yang ketika kejadian berumur 4 tahun dan seorang lagi berumur 5 bulan ingin mendapatkan maklumat mengenai insiden Lahad Datu, mereka bukan sahaja boleh membaca mengenai bagaimana peritiswa terbabit berlaku, bagaimana pasukan keselamatan menangani insiden terbabit, tragedi yang menimpa pasukan keselamatan malah mereka juga boleh membaca respons ahli politik dari kedua belah pihak dan juga respons oleh rakyat Malaysia. Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai suasana Malaysia dan perasaan rakyat Malaysia ketika itu dan mereka juga dapat merasai kesedihan yang dirasakan oleh ahli keluarga pasukan keselamatan yang kehilangan nyawa.

Saya teringat pernah berbual dengan seorang bekas tentera yang berkhidmat di zaman komunis. Apabila beliau menceritakan mengenai rakannya yang terbunuh, saya lihat air mata beliau bergenang dan muka berubah menjadi marah. Saya ketika itu juga bersimpati dengan kisah yang diceritakan. Namun secara jujur saya tidak dapat merasai kemarahan dan kesedihan tersebut kerana saya tidak dilahirkan pada zaman itu. Malah ketika itu, media coverage yang diberikan tidak seperti sekarang. Saya juga tidak dapat melihat respons masyarakat ketika itu secara mendalam menyebabkan saya tidak dapat sepenuhnya merasai dan menghayati zaman tersebut.

Apabila membaca kisah anggota keselamatan kita terbunuh dan melihat kesedihan ahli keluarga mereka serta kesedihan masyarakat kita samada di media perdana atau media sosial, perasaan sedih tersebut semakin bertambah. Air mata juga bergenang bukan sahaja kerana sedih tetapi juga kerana terlampau marah dengan pihah musuh. Perasaan sebegini membakar diri supaya menjadi patriotik kepada negara kita yang berdaulat dan saya mahu anak-anak saya juga mempunyai perasaan ini apabila membaca mengenai insiden Lahad Datu apabila mereka dewasa kelak.

Takziah saya ucapkan kepada kesemua pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika insiden Lahad Datu dan juga pada mereka yang cedera semoga mereka cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik untuk mereka kembali bertugas.

Kepada pihak keselamatan yang sedang menjalankan operasi, doa saya semoga anda semua berjaya dan dilindungi dari sebarang musibah.

Terima Kasih kerana memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

2013 Sudah Menjelma

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Alhamdulillah, saya masih lagi diberi kesihatan yang baik pada tahun 2013 ini dan pengajian PhD saya akan melalui satu lagi fasa/tahap yang baru.

Apa yang berlaku pada tahun 2012? Ini antara yang saya ingat di pagi yang hening ni…

2012 penuh episod dan yang paling klasik adalah kiamat kaum maya. Sepanjang hidup saya ini memang beberapa kali heboh mengenai tarikh sekian-sekian akan kiamat.

2012 juga banyak spekulasi tentang pilihanraya. Ada yang meramalkan tarikh sekian sekian parlimen akan dibubarkan. Ada yang meramalkan tarikh sekian sekian pilihanraya akan berlangsung. Nah… dah habis pun 2012.

2012 anak kedua saya dilahirkan. Kali ni boy..alhamdulillah dapat sepasang. Yang sulung girl. Lahir pada 12.10.12. Mykid nya pula 121012-10-12XX.

Dan baru semalam isteri saya menceritakan ada gangguan misteri yang dia alami sehari sebelum bersalinkan anak kedua saya di hospital. Adoiyai, baru semalam dia cerita…hahaha…tapi ada satu kejadian misteri juga berlaku yang kami sama sama alami termasuk lah kedua-dua mertua saya. Kejadian pelik yang berlaku depan mata. Memang pada mulanya kami semua pelik, tapi selepas diperhalusi kejadian tersebut, kami rasa seram pulak. Dan keseraman itu dirasakan hanya bermula SEMALAM, setelah saya dan isteri membuat post mortem kejadian-kejadian ketika dia di hospital.

Dan..masih saya ingat kesusahan isteri saya mengandungkan baby boy ni..dengan pendarahan pada awal usia kehamilan hinggalah pertengahan usia kehamilan. Sememangnya kami dah bersedia dengan segala kemungkinan yang buruk, tapi Alhamdulillah…Allah sayangkan kami semua. Lahirlah Adik Tibas. Ni nama gelaran, bermula dari kepelatan kakaknya menyebut nama adiknya. Sekarang kakaknya dah tak pelat sebut nama adik dia, tapi saya pulak yang seronok gelarkan anak kedua ni Adik Tibas.

2012…ASTRO. Setelah lama dipujuk, barulah ayah saya bersetuju memasukkan ASTRO di kampung. Bil dan bayaran atas nama saya, no problem.

2012, smartphone Android paling canggih pernah saya miliki, saya beli. Walaupun pada waktu tu smartphone tersebut tidak lagi canggih pada orang lain dan 2012 jugalah baru saya berjinak-jinak dengan Blackberry yang dah mula kendur di serata dunia. Semuanya kerana terdapat sekumpulan rakan yang menggunakan BBM. Konon pada waktu tu mereka tak redha akan kehadiran Whatsapp dan oleh kerana tak nak terputus talian hayat maka ber BBM lah saya. Amat lah menghampakan kerana 2-3 bulan kemudian, semuanya berWhatsapp. Mungkin baru sedar bahawa Whatsapp ni multi platform.

2012.. baru lah ada kemampuan nak beli PS3..PS4 pun nak keluar tahun 2013. 3 bulan lepas saya beli PS3, harganya jatuh rm200-300. Ptuihhh..

2012..akhirnya kereta saya bertukar sport rim setelah setahun menggunakan sport rim original.

2012.. Baris…Barissss sediaaa…

2013..berikanlah daku yang indah …Yang Terindah.

Adios,

Pengalaman Kawad Cam PDRM

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Sebelum perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh saya, biarlah saya coretkan pengalaman yang saya lalui semalam supaya ianya boleh dikisahkan kembali jika diperlukan.

Segalanya bermula pada pagi semalam apabila saya dihubungi rakan saya, Nazrul yang meminta bantuan saya untuk ke sebuah IPD di Lembah Klang. Kebetulan pula kenalan lama saya bernama Johari merupakan anggota polis di IPD terbabit. Saya dan Nazrul tiba di IPD sewaktu makan tengahari kira-kira jam 1.30 dan kami makan bersama-sama Johari di restoran belakang IPD terbabit.

Rupa-rupanya di restoran tersebut terdapat sekumpulan lelaki dari lingkungan 20-an ke 40-an sedang makan dan salah seorangnya merupakan rakan saya dan Nazrul, namanya Dino. Kesemua kumpulan lelaki terbabit merupakan orang-orang Dino.

Menurut Dino, kesemua mereka akan menghadiri kawad cam dalam satu kes pergaduhan. Johari mengakui bahawa rakan-rakannya ada menangkap beberapa orang suspek yang terlibat dalam pergaduhan di kawasan pentadbiran IPD tersebut. Dino merupakan rakan lama saya dan mereka yang ditangkap merupakan kenalan Dino.

Nazrul, Dino dan rakan-rakan mereka yang berada di restoran akan menjadi perserta kawad cam dimana mereka akan berdiri di celah-celah suspek sebenar dan mangsa atau pengadu akan diminta menunjukkan orang yang memukulnya kepada pegawai penyiasat. Kawad cam akan dijalankan dalam beberapa pusingan dimana kedudukan para peserta kawad cam akan berubah. Jika pengadu mengecam orang yang salah dalam setiap pusingan atau gagal mengecam suspek yang sebenar, maka kes akan menjadi lemah atau kes gugur bagaimanapun ia bukanlah satu mekanisma yang muktamad untuk mengugurkan sesuatu tuduhan kerana saya juga tidak begitu arif dalam bidang perundangan, ini hanya penerangan asas yang diberitahu kepada saya sahaja.

Segalanya bermula apabila seorang detektif memanggil Dino, Nazrul dan rakan-rakan mereka untuk ke Bahagian Siasatan Jenayah yang terletak berhampiran. Ketika itu pula Johari meminta diri kerana perlu menghadiri mesyuarat. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka 2.30 petang.

Masalah timbul apabila bilangan orang awam yang akan menyertai kawad cam tersebut tidak cukup. Saya tiba-tiba diajak turut serta dan memikirkan bahawa jika saya tolak proses kawad cam tidak akan berlangsung maka saya menerima tawaran terbabit. Lagipun tidak perlu berkira dalam soal ini kerana kita sendiri tidak tahu untung nasib kita satu hari nanti dan siapa yang akan menolong kita. Tidak perlu berlagak sombong.

Sebelum memasuki bilik kawad cam, MyKad kami diserahkan kepada detektif terbabit untuk difotostat. Saya dan rakan-rakan lain kemudiannya memasuki bilik kawad cam tersebut. Suasana ketika itu amat harmonis dan detektif-detektif yang bertugas juga amat professional dan berbual dengan kami. Ada antara detektif yang saya lihat amat menghormati saya, mungkin kerana kesanggupan saya turut dalam kawad cam terbabit yang sekaligus membantu melicinkan kerja mereka.

Apabila masuk sahaja dalam bilik kawad cam, rupa-rupanya kesemua suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan terbabit ada di dalam bilik itu dengan baju lokap dan tangan bergari. Saya terkejut melihat salah seorang suspek kerana dia pernah bekerja bersama-sama saya. Dia juga kelihatan terkejut dan terpinga-pinga melihat saya berada dalam bilik kawad cam terbabit.

Perbarisan kawad cam dimulakan dan saya berada di nombor 8 sementara rakan saya Nazrul di nombor 9. Kami berbaris dicelah-celah kesemua suspek yang telah dibuka garinya dan baju lokap telah ditukar kepada t-shirt biasa. Mangsa/pengadu kemudiannya dipanggil dan diiringi pegawai penyiasat kes untuk mengecam kami dari luar bilik, di tingkap kaca. Sememangnya lucu apabila mangsa mengecam rakan saya Nazrul sebagai orang yang memukulnya. Selepas habis pusingan pertama, suspek-suspek lain pula dipanggil masuk (jumlah suspek dalam kes ini agak besar). Orang awam yang akan berbaris bersama suspek pula akan kekal.

Namun ketika inilah sesuatu berlaku. Salah seorang suspek tidak dapat memakai baju tshirt biasa untuk menggantikan baju lokap kerana badannya besar. Dan kebetulan badan saya besar, detektif meminta jasa baik saya untuk meminjamkan baju saya kepada suspek. Saya sebenarnya boleh menolak kerana ia bukan arahan tetapi dalam keadaan masing-masing inginkan proses berjalan lancar, tanpa gangguan dan dapat dihabiskan pada waktunya, maka saya memberi kan sahaja tshirt terbabit pada suspek untuk digunakannya. Ketika itu suasana dalam bilik kawad cam amat tengik dan busuk serta panas dan tiada pengaliran udara kerana penghawa dingin rosak.

Maka berdirilah saya tanpa baju di tepi bilik kawad cam menunggu sehingga proses kawad cam selesai dan apabila saya menerima kembali baju saya, segala macam bau tengik dan busuk melekat. Dua kali saya terpaksa mandi sekembalinya di rumah barulah bau tengik dan busuk itu hilang.

Selesailah sudah satu perkara yang saya pasti tidak ramai rakan-rakan ahli akademik saya akan lalui iaitu menjadi seorang suspek yang dicam tanpa perlu melanggar undang-undang. Semestinya ini akan menjadi satu pengalaman sepanjang perjalanan hidup saya.

Tentu anda tertanya-tanya apakah perjalanan kes ini. Oleh kerana kes masih baru dan dalam siasatan, saya tidak akan menceritakan lokasi kejadian.  Sebenarnya, pengadu/mangsa dalam kes ini telah melakukan sesuatu sehingga merosakkan akhlak remaja-remaja di satu komuniti. Telah beberapa kali pengadu/mangsa ditegur oleh komuniti di situ namun pengadu/mangsa hanya berhenti seketika, kemudiannya menjalankan kembali aktivitinya yang salah di sisi undang-undang. Saya difahamkan aduan telah dilakukan namun tidak diendahkan oleh pengadu/mangsa, mungkin kesalahan yang dilakukan kecil di sisi penguatkuasa namun ianya memberi impak negatif yang besar pada remaja di komuniti terbabit.

Berang dengan kejadian salah yang berterusan menyebabkan sekumpulan lelaki dari komuniti terbabit bersemuka dengan pengadu/mangsa. Saya difahamkan  berlaku provokasi hingga menyebabkan pergaduhan dan pengadu/mangsa yang pada mulanya merasakan dirinya kuat akhirnya tumbang dikeroyok oleh kumpulan lelaki dari komuniti tersebut.

Seorang lelaki dari kalangan komuniti tersebut bernama Pak Salim membawa pengadu/mangsa membuat laporan polis. Saya juga difahamkan Pak Salim memang tidak digermari oleh komuniti disitu kerana berperangai seperti samseng (mungkin juga samseng), dan pengadu/mangsa merupakan sumber kewangan tetap Pak Salim.

Apa yang didengar juga ialah pengadu tidak mengalami apa apa kecederaan serius, saya memang ada melihat sendiri pengadu ketika di IPD dan memang tidak kelihatan apa-apa kecederaan pada pengadu.

Apa anasir jahat yang pengadu/mangsa lakukan? Biarlah rahsia kerana kes masih dalam siasatan.

Sebelum kami balik, MyKad kami dipulangkan dan nombor telefon kami dicatit.

Dan ketika saya keluar dari IPD saya lihat anak-anak dan isteri-isteri semua suspek sedang menunggu bapa dan suami masing-masing. Timbul perasaan sayu kerana bapa dan suami masing-masing cuma ingin melindungi komuniti mereka dari anasir jahat, cuma mungkin tindakan mereka agak keras  dan diluar undang-undang.

Moral of the story:-

Yang ditangkap tidak semestinya jahat dan yang mengadu tidak semestinya baik.

Kalau nak masuk kawad cam, pastikan bawa baju tshirt dan seluar lebih, takut jadi insiden macam saya pula.

Jika anda adalah orang awam di kalangan kawad cam dan pengadu asyik menunjukkan bahawa andalah penjenayah, bukan bermakna anda akan ditangkap. Lebih-lebih lagi ketika waktu kejadian anda berada di kawasan lain seperti yang berlaku pada Nazrul.

TERIMA KASIH kerana sudi membaca Nukilan FANTASI dan TAHYUL saya.  Segala diatas adalah rekaan dan ciptaan semata-mata. Sebarang persamaan dari segi nama, hati dan perasaan adalah kebetulan yang menakjubkan.

Spam dan spammer

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Spam ada dimana-mana…oops baru nak teruskan menulis anak pula terjatuh sampai benjol kepala gara-gara nak tengok doctor mcstuffin

Kembali Rutin

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Hari ni segalanya berjalan kembali seperti biasa mudah mudahan. Setelah beberapa lama saya mengharungi pelbagai perkara sendirian kini pada hari ni rutin saya akan saya setkan seperti biasa kembali. Seperti semester pertama dan kedua pengajian saya.

Apa yang saya pelajari ialah apabila segala kerja telah berlonggok, satu tugas yang berat untuk membersihkan longgokan tersebut atau sekurang-kurangnya menurunkan kadar jumlah longgokan tersebut. Memang benar kata orang lama, apabila kita lama tinggal rutin kita, maka akan teraba-rabalah kita ketika mahu memulakannya kembali. Tetapi semuanya harus dilalui dan dihadapi demi pengalaman yang apabila di hujungnya nanti bakal membuatkan kita tersenyum.

Rutin pertama mengunjungi gudang ilmu, tempat tersimpannya khazanah pengetahuan dan oleh kerana namanya pun gudang ilmu, terjumpa pula seorang professor di dalamnnya. Tangan dihulur dan salam diberi dan dibalas maka bermulalah perbualan ilmiah yang dimulakan dahulu dengan bicara santai.

Antara kupasan yang menarik ialah mengenai bidang pengurusan rekod dimana perlunya satu kajian ilmiah dilakukan tentang kepentingan pengurusan rekod terhadap organisasi. Memang benar pengurusan rekod adalah sesuatu yang penting dan boleh dikatakan semua organisasi samada dalam sektor awam atau swasta menyedarinya namun perlu wujud ‘empirical data’ di dalam Malaysian environment supaya boleh dipersembahkan kepada semua.

Menarik apabila professor itu berbicara, kajian tersebut merupakan satu kajian mudah namun empirical data yang bakal diperolehi boleh digunakan untuk diperjelaskan kepada organisasi kan pentingnya menguruskan rekod dan perlunya organisasi mengambil graduan dalam pengurusan rekod untuk menjaga rekod mereka. Antara idea professor tersebut ialah kajian boleh dilakukan dengan bertanyakan soalan kepada setiap bahagian di organisasi tersebut tentang rekod yang mereka gunakan dan kepentingan rekod.

Pembelian di Ebay

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Sejujurnya saya merasa agak terlambat menyertai eBay terutamanya di dalam aktiviti membeli belah atas talian ini. Kali terakhir saya beli sesuatu secara online ialah pada tahun 2001 ketika di UK. Saya gemar membeli buku dan CD Audio di Amazon.co.uk ketika itu, menggunakan kad debit NatWest. Entah kenapa ketika itu hati ini amat mempercayai bahawa orang Barat tidak akan menipu.

Kemudian sejak akhir-akhir ini saya kembali ke atas talian untuk mencari barang terutamanya di Mudah, itupun saya akan COD atau terus ke kedai yang diiklankan di Mudah. Urusniaga saya menggunakan Mudah ialah untuk mencari barang aksesori kereta dan juga telefon bimbit dan seperti saya jelaskan tadi saya akan ke kedai terbabit untuk berurusan secara bersemuka. Urusniaga melalui pos is a No No for me. Kebetulan pula untuk barangan audio kereta, rakan saya yang bernama Zack Audio sendiri ada menjual barangan tersebut dengan harga yang amat berpatutan. Kadangkala saya menjenguk Mudah untuk melihat barangannya dan apabila mendapati harga yang ditawarkan amat baik, terus saja saya hubungi beliau. Malah Zizan Raja Lawak juga membeli barang dengan rakan saya dan Zizan pernah mengatakan pada saya bahawa barang yang dibeli adalah murah berbanding harga pasaran.

Okay, berbalik pada eBay, saya mendaftarkan akaun PayPal dan saya linkkan akaun saya pada kad kredit serta alamat rumah saya. PayPal akan menjadi medium saya membayar kepada penjual eBay kerana ianya selamat dan senang. Penjual eBay tersebut tidak akan mengetahui butiran kewangan saya kerana kesemuanya diuruskan oleh PayPal. Saya gemar mencari barangan dari penjual di US atau UK kerana barang yang saya cari mudah didapati disana iaitu baju bersaiz besar. Untuk makluman pembaca, saiz saya yang ajaib ini menyebabkan agak sukar mencari baju terutama tshirt yang mempunyai logo dan grafik yang unik. Kalau ada pun, harganya hampir sama dengan yang dijual di US.

Pembelian pertama saya ialah satu tshirt bersaiz besar dengan seorang Trusted Seller dari Chicago. Ini merupakan salah satu kriteria yang saya cari iaitu membeli dengan Trusted Seller atau penjual yang mempunyai positive feedback bagus. Saya beli pada 18 Jun 2012 dan pada 19 Jun 2012 saya menerima email dari penjual bahawa barangan saya telah dipos. Pada 4 Julai saya menerima tshirt tersebut. Di sampul parcel tertulis DILEPASKAN OLEH KASTAM 02 Julai 2012. Harga Tshirt lebih kurang RM 24 dan harga pos juga RM 24.

Kini saya sedang mencari pula perfume bersaiz mini dari US. Harga yang ditawarkan sekitar RM 30 dan pos pula sekitar RM 21. Di Malaysia, saya pernah membeli miniature perfume dengan harga RM60. Pilihan juga terhad dan saya kena merayap ke beberapa kedai perfume yang terletak berjauhan. Cuma bezanya, pembelian eBay perlu bersabar kerana tempoh penghantaran yang agak lama. Kalau nak cepat, bayar lebih, pos akan bertambah laju.

Siapa yang ada pengalaman eBay boleh la share ilmu di sini untuk semua pengunjung blog.

Seronok juga dapat pakej dari luar negara

Saiz besar..memang besar

Nama je dari US, tapi made in Mexico

EURO 2012 Lagi…

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Euro sekali lagi menjenguk. Bukan duit euro tapi kejohanan bolasepak euro. Memang bengkak dibuatnya penangan euro. Game pula bermula dari jam 12 tgh mlm dan 3 pagi 2.45 pagi. Esok pagi pulak kena bangun pagi. Nasib baik ada pvr. Agak-agak tak larat, record je. Kalau malas nak record full game, record highlight jam 7 pagi. Dalam hal ini, Astro agak memahami keperluan orang bekerja. Mana taknya, staf diorang pun layan euro dan kena masuk kerja pagi. Rasanya game Malaysia v Singapore lagi best dari England v France. Sekadar merasa…

60 hari terhenti

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Masa saya terhenti 60 hari. Saya sendiri tidak sedar saya ‘hilang’ selama itu. Banyak perkara berlaku sepanjang ‘kehilangan’ saya. Dan berita semalam yang diterima dari doktor pakar mengenai isteri saya agak mengejutkan, mungkin masa akan terhenti lagi.

Cuti Khas Seminggu UiTM

Author: nizamyunus  |  Category: Uncategorized

Oleh kerana saya sedang bercuti belajar sepenuh masa maka saya sendiri tidak sedar bahawa minggu ini merupakan cuti khas seminggu diberikan oleh UiTM kepada para pelajarnya. Yang pasti ketika ke fakulti semalam dan hari ini, bilangan kenderaan adalah kurang berbanding biasa.

Saya difahamkan ramai yang bekursus dan ada juga yg bertugas mengiringi pelajar ke luar kawasan. Ramai yang menyangkakan jika pelajar UiTM bercuti maka secara automatik para staf akademik dan pentadbiran juga bercuti.

Sebenarnya pada waktu ini jugalah staf akan melakukan pelbagai tugas yang tidak mungkin dapat dilakukan ketika pelajar ada. Contohnya staf akademik akan ke kursus. Tapi bukanlah bermakna tiada peluang untuk bercuti namun hanya jika segala tugas sudah dibereskan dan perlu pula mengisi borang cuti. (kami menggunakan borang cuti online). Apa apa hal pun..selamat bercuti kepada semua.

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (19)